Thursday, February 18, 2010

BUAT YANG DUKA......


Jari yang lama kaku kelu memula kembali rentak di keyboard dalam membaitkan rasa. Mungkin rasa yang dikecap hambar dalam jerih himpitan waktu. Mungkin juga ruang tenteram yang diharap tiada dalam menzahirkan rasa.

Di kesegaran suasana kampung dalam liburan Tahun Baru Cina membias kembali waktu ikram bersama sahabat-sahabat junior. Sebuah program yang penuh kuharapkan bersama-sama melahirkan jiwa bersemangat dalam meneruskan wawasan.


Peladang Agro Resort, Setiu merakamkan 2 hari yang santai. Melampirkan aktiviti-aktiviti yang kukira membawa kesegaran jiwa dari dilema sebagai pelajar. Biar untuk mengubat luka bukan, cukup peritnya kebas berbius semangat yang baru.



Riadah berilmiah yang cuba dibawa diselit bersama pengisian spritual madah semangat dari Prof. Zabidi (Paediatric ,USM). Benar manusia itu mudah lupa, mudah sekali dibawa rasa, mudah benar hanyut dalam monolog dilemma. Kerana itu juga adanya seruan dalam firmanNya….

“Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajiban kamu sendiri. Kobarkanlah semangat para mukmin (untuk berperang). Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kafir itu. Allah amat besar kekuatan dan amat keras siksaan(Nya)”..( An-Nisaa’ 84)




Dalam hilai tawa bercanda kuharap membibitkan rasa setiakawan dikalangan seusia mereka. Kerana itu menjamin hembusan pembakar semangat berterusan. Apa namanya saudara jika tidak mengenali, apa namanya saudara jika tidak memahami, apa namanya saudara jika tidak saling melengkapi….

“dan diantara orang beriman dengan orang yang beriman itu bagaikan sebuah bangunan, saling mengukuh antara satu sama lain…..” (sabda Nabi SAW)