Thursday, December 9, 2010

MENGHARAPKAN SENYUM DIKEMUDIANNYA...

Begitu pantas masa berlalu, begitu juga jajahan minda mengisi memori. Mungkin 5 tahun suatu jangka masa panjang didengari bagi yang baru bermula, tidak pada yang hampir mengakhirinya. Begitulah adatnya manusia, tiada rasa hampirnya mati jika umur masih belum lagi beruban.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)

Masih lagi segar kenangan diawal perjalanan 5 tahun, melihat pada perjalanan diri yang masih lagi bertatih menimba pengalaman. Cuba untuk belajar dan mencuba pelbagai pengalaman. Sehingga kini, pengalaman-pengalaman itu sentiasa memberi rasa senyum dalam diri. Setiap kali mengimbau kembali.





Alhamdullilah diusia ini, masih lagi diberi kesempatan bersama rakan-rakan merasa pengalaman itu kesekiankalinya. Dan kuharapkan, rasa ini tegar menguja semangat berbakti pada yang memerlukan. Program berkhatan anjuran rakan-rakan junior dan kerjasama bersama Jabatan ORL, USM member jajahan minda ke Perkampungan Pulau Beluru.







Musim tengkujuh bawakan angin Laut China Selatan bukanlah pembeku semangat dalam meredah perairan yang sedikit bergelora dari biasanya. Gelora yang bagai menggamit ramah hati keterujaan peserta-peserta. Dalam terus mengecapi rasa yang bakal memberi senyum dikemudiannya…

Tuesday, June 29, 2010

WARKAH DARI KANDA....



Kala kau jauh dari keasalan,
Kuharapkan jiwa mu masih pada jati usulmu,
Tika teruja lonjak gembira mengemosi diri,
Jangan biarkan matlamatmu kabur digenanginya,

Langkaumu kuharap menggarap cita-cita,
Bukan mengharap pada cintanya dunia,
Biar saja harapmu tegar pada-Nya yang Esa,
Kerana kutahu, jiwa muda itu sentiasa diduga.

Banyak yang bakal kau pelajari dan tatapi,
Kerna medan ilmumu bukan hanya diruang kuliah,
Bahan telaahmu, tidak sekadar risalah akademik semata,
Justeru, kematanganmu banyaknya terdidik dari pengalaman,

Jadikan Al-Quran pembisik kalam ketenangan,
Dikala gundah berkelana merasuk jiwa,
Cintai majlis ilmu di rumah-rumah Allah,
Pastinya disitu kau mengenal erti kehidupan.


ABANGMU YANG MENGHARAP..
Buatmu yang bakal ke menara gading..

Friday, April 16, 2010

PENCETUS RASA KEJAYAAN



Gamat suara hilai dengan gah gemuruh tepukan mewarnai suasana dewan. Satu persatu nama insan-insan diwar-warkan memperakui kelayakan mereka sebagai pengamal perubatan bergelar doktor. Serentak itu juga tepukan dan sorakan mengiringi kegembiraan berbaloi jerih selama 5 tahun. bukan semudah lancarnya nama disebut berbanding sukarnya dalam menukil nama kegembiraan ketika itu.

Dari sisip ruang tepian kecil dewan, aku menjadi pemerhati kecil mendengar rasa itu. Biar bukan menanti nama sendiri menggema dewan, penuh kuharapkan nilainya setahun mendatang. Ku coroti dari ruang sisip itu deretan wajah-wajah puas pendidik menjamu pemandangan emosi. Tentu sekali mereka mengharapkan sesuatu yang terbaik hasil asuhan bertahun-tahun. bagai tiada jemu kegembiraan itu dirasa, terus saja dizahirkan dengan sorak dan tepukan hingga keakhir nama menyudahi. Tentu saja bukan disitu noktah kegembiraan.

Seusai nama-nama DR baru dimaklumi, menjadi tradisi setiap pensyarah-pensyarah membekalkan dengan pesanan dan kata-kata ingatan. Sungguh dunia diluar sesuatu yang baru buat mereka dan juga diri, mengharapkan panduan dari mereka yang telah mendahului. Prejudis lajak minda ini menlai kemampuan diri dalam mengggalas tugas yang tergambar getirnya.

Derapan kaki semangat menyerbu ke luar dewan , membariskan wajah-wajah ceria. Dalam canda berbicara mereka kukalungkan dengan ucapan tahniah. Dalam kecerian itu tentu saja terpalit jiwa-jiwa yang memendam rasa. Mungkin kejayaan masih belum masanya buat mereka. Kejayaan tertangguh diharap bukan peluntur semangat dalam menyambung usaha selama 6 bulan seterusnya. Kataku pada diri, setiap sesuatu sentiasa ada hikmahnya..

Biar rasa itu bukan kumilki kini, namun kerna mereka , diharap menjadi iltizam dalam mencetus rasa dkemudian hari….sekal lagi ku ucapkan TAHNIAH buat yang Berjaya….

Saturday, March 13, 2010

Pengertian Suatu Pegangan



Biar berulang bicaranya menerjah minda, biar isi suaranya pernah dulu berkali menyapa hati, sekali lagi terpegun diri ini dengan semangat baru penyampaiannya. Bagai hidup madahnya itu, sentiasa memuhasabah apa maknanya diri bergelar seorang muslim.

Malu dalam diri begelar muslim yang kukira usianya lebih lama dari yang berbicara, sekadar pada nama, namun rompong tanpa maknanya. Malu dalam diri mengakui keizzahan Islam, sekadar diri yang merasa, tiada usaha menjamu pada awami. Sungguh bicaranya memberi nilai pada diri….

Angkuhku dalam sedar kekuasaanNya,
Zahirnya dilihat penuh kehambaan,
Hingga diri merasa cukup mulia,
Walhal amal sekelumit tiada nilai,

Sesi sua temu bersama Brother Shah Kirit memberi lapangan muhasabah. Panggilan teman menggamit jiwa bersama membaharui iman. Iman yang semakin jauh hari ke hari.“Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Sekejap kuat membara sengatan iman di hati, tetapi cepat pula pudar oleh sengatan syahwat dan dunia yang berbisa. kini semangat itu surut lantaran kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya.

Kehadiran Bro Shah bersama Saba’ Islamic Media memberi dimensi baru kepada pendengar dalam menyampaikan mesej Islam dan menyangkal dakyah2 musuh Islam. Menyedarkan kepentingan bersama mentablighkan seruan kepada ummat manusia dikesampingan mengislahkan ummah…

“sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah merteka yang apabila disebutkan nama ‘Allah’ gementarlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka. (al-anfal:2)

Thursday, February 18, 2010

BUAT YANG DUKA......


Jari yang lama kaku kelu memula kembali rentak di keyboard dalam membaitkan rasa. Mungkin rasa yang dikecap hambar dalam jerih himpitan waktu. Mungkin juga ruang tenteram yang diharap tiada dalam menzahirkan rasa.

Di kesegaran suasana kampung dalam liburan Tahun Baru Cina membias kembali waktu ikram bersama sahabat-sahabat junior. Sebuah program yang penuh kuharapkan bersama-sama melahirkan jiwa bersemangat dalam meneruskan wawasan.


Peladang Agro Resort, Setiu merakamkan 2 hari yang santai. Melampirkan aktiviti-aktiviti yang kukira membawa kesegaran jiwa dari dilema sebagai pelajar. Biar untuk mengubat luka bukan, cukup peritnya kebas berbius semangat yang baru.



Riadah berilmiah yang cuba dibawa diselit bersama pengisian spritual madah semangat dari Prof. Zabidi (Paediatric ,USM). Benar manusia itu mudah lupa, mudah sekali dibawa rasa, mudah benar hanyut dalam monolog dilemma. Kerana itu juga adanya seruan dalam firmanNya….

“Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajiban kamu sendiri. Kobarkanlah semangat para mukmin (untuk berperang). Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kafir itu. Allah amat besar kekuatan dan amat keras siksaan(Nya)”..( An-Nisaa’ 84)




Dalam hilai tawa bercanda kuharap membibitkan rasa setiakawan dikalangan seusia mereka. Kerana itu menjamin hembusan pembakar semangat berterusan. Apa namanya saudara jika tidak mengenali, apa namanya saudara jika tidak memahami, apa namanya saudara jika tidak saling melengkapi….

“dan diantara orang beriman dengan orang yang beriman itu bagaikan sebuah bangunan, saling mengukuh antara satu sama lain…..” (sabda Nabi SAW)

Sunday, November 8, 2009

PENCARIAN RASA...


Dalam selit waktu kelapangan dhuha, konfrontasi bicara bersama teman mengusik kelesuan minda dingin pagi itu. barangkali masa berikram bagai haus dalam himpitan kesibukan sebagai pelajar. Sama-sama dalam canda berbicara menyapa bagaimana berlalunya masa diri dalam menggenapi waktu praktikal yang diperuntukan. Satu persoalan yang menyusul keluh kepenatan yang entah dimana kepuasannya.

Pantas saja ingatan ini mencungkil jejak sulung di medan praktikaliti yang ku kira masih lagi terasa hangat kenangannya. Biar dalam congakkan hisab menyedarkan diri bahwa masa begitu pantas berlalu. Bukan keseorangan diri bermain rasa, kerna teman bicaraku juga menyetujui.

Mudah benar lajak minda ini cuba menghayati apa yang bakal digapai dengan izin-Nya dalam setahun dua mendatang. Gelaran DR yang bakal disandang bagai begitu dekat biar dilihat panjang dari perkiraan. Kulansungkan lagi jangkauan imaginasi keruang kerja yang kurang lebih himpitan waktunya. Membawa gambaran masa yang bakal pantas berlalu seperti yang dirasakan kini. 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun…

Bunyinya cukup lama untuk yang mendengar, biar tiada sempat dikecapi untuk yang merasa. Lihat saja pada masa lebih dua dekad yang dilalui, mungkin saja kita merasa puas dengan seadanya. Namun tidak juga diri ini berhenti untuk terus mencari kepuasan. Hingga kini, masih lagi berjuang sekudrat mungkin, mengharap nilainya setahun dua mendatang. Kupasti setelah nilai itu dirasa, diri belum tentu puas untuk mencari selebihnya.

Langkauan prejudis ini mengenepikan bila akan diri ini berhenti dalam pencarian itu. kerna kulihat, rasa itu tiada pernah puas. Yakin kubicarakan, tiada ruang untuk kulepas dari himpit waktu sepertinya kurasa kini, mengundang keluh kesekiankalinya.

Teman bicara menyua kata, “ tiada makna umur yang panjang jika tiada usaha untuk agama”……..kerna kepuasan itu dirasa tanpa perlu dicari di akhirat sana, disitu noktah pencarian diri…

Thursday, August 13, 2009

LEMBARAN YOGJA..CONTD

Imbauan kedinginan pendakian kawasan tanah tinggi Kaliurang bagai masih lagi meresapi liang memori. Deretan penginapan menghinggapi sepanjang sependakian lerengan Kaliurang. Cerunan yang meninggi membawa gambaran tanah tinggi Cameroon di keasalan diselimuti panorama kekabusan mencetus keterujaan hingga kehujung pendakian. lapangan indah dan dingin puncak Kaliurang menyelitkan riau keberadaan Gunung Merapi. Barangkali sejarah meratapi bagaimana kebengisan Gunung Merapi menggegar kepulauan Jawa. Bagai belum lagi hilang amarahnya itu, hingga masih lagi terpapar kepulan asap menanti waktu melempias hawanya. Syukurnya tiada dugaan sebegitu di Malaysia.
Damai Kaliurang ditinggallkan dengan ketakjuban kekuasaan Allah seterusnya membawa delegasi menghayati sejarah keperajuritan dan kesultanan Jawa di Kratong. Sungguh setiap bangsa itu ada mulanya, ada ceritanya.




Waktu sore digenapi dengan kunjungan ke medan niaga Malioboro. Riuh ampu dalam tawar menawar dan sesak kunjungan tempatan juga antarabangsa menggamat suasana. Deretan kedai dipersisiran jalan raya menjanjikan nilaian harga yang amat berpatutan. Barangkali, tiada sempurana kehadiran di Yogjakarta tanpa singgah membawa pulang kenangan dari Malioboro. Ruang tepian tembok sepanjang lebih 1 km menyediakan kepelbagaian barang yang mungkin sesuai dibawa pulang sebagai kenangan.

Jauh perjalanan seharian meruap semangat dalam meneruskan kelansungan agenda. Hari ke-6 delegasi bakal mengharungi pengalaman berkhidmat pada masyarakat. Acara Bakti sosial dilancarkan dengan lokasi Karayanggayam Sitimulyo, Piyungan Bantul ,Yogjakarta menjadi pilihan. Membawa bersama kerjasama ukhwah antara MESAT dan Yayasan Al-Qais mencetus satu tautan yang tidak mungkin dipisahkan sempadan lautan. Acara pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubatan mendapat sambutan masyarakat setempat. Jasa dihulur walau sebentar, harap mampu mengubat luka, biar untuk dikenang bukan.



Biar manusia hanya mampu merancang, namun dengan kudrat-Nya segala misi yang dicanang hampir dipenuhi dengan terlaksananya agenda Bakti Sosial. Terus kembara delegasi dilanjutkan ke pesisir Pantai Parangtritis membawa jajahan minda kesegaran bayu laut dan liar kuda-kuda tungangan. Sorak hilai peserta delegasi memancar puas dalam perlaksanaan program. Sehari yang tinggal cuba dihayati sepenuhnya menyimpan segala pengalaman bermaknaLawatan ke Hospital Sarditjo melengkapi rencana perancangan misi. Sedikit gambaran pengurusan kesihatan yang dijalankan bakal dibawa pulang sebagai ilmu perkongsian. Terus segala permualaan dan perjalanan program diakhiri dengan majlis perpisahan membawa simfoni keharmonian serumpun.HARI INI MENJUAL JAGUNG, HARI ESOK MENJUAL JELAI, HARI INI KITA BERKAMPUNG, HARI ESOK KITA BERCERAI, ADA UMUR KETEMU LAGI….