Tuesday, December 2, 2014

SRI KANDI CINTAKU.....


Hadirnya DIA bukan dirancang,
Jauh sekali berkenal bermesra bertaut sayang,
Sungguh jodoh ketentuan Ilahi bagai dicanang,
Dengan Redha bersatu terikat menjadi sayang.

Biar hati dan budi tidak dikenali,
Lumrah berijabkabul kasih terpatri,
Biar kita bertatih janggal dalam mengenal diri,
Hingga kini mudah saja bercanda mesra sesama sendiri,

Barangkali mudah mengungkap madahnya cinta,
Tidak semudah jiwa dan diri menanggung rasa,
Dalam berkasih tentu saja onak duri datang melata,
Penat seharian dan perit berjauhan membaur rasa,

DIA pendamping masa muka ku,
Kental jiwanya menyanggah segala rasa yang terbuku,
Biar kadang tewas dalam tangis bersama merindu,
Mampu saja mengguris senyum menggamit cinta bertamu,

Aku dikejauhan meninggalkan kasihnya hati,
Sedang DIA tegar kepenatan bersama sang putera hati,
Sungguh tiadapun bait mengharap imbuhan dikemudian nanti,
Telus janjiku mencurah kasih sehingga ke mati,
Kerana DIA, Sri Kandi Cintaku….


Fauzi Wahab, Semporna, Disember 2014

Friday, October 21, 2011

SEKEJAP...

Sekejap-sekejap mata ini merenung kosong bukaan wajah pagi di luar bilik. Menyaksikan renik-renik kekabus menyegarkan kehijauan sedia ada. Seperti biasanya, masih lagi menggamit teruja hati sedari mula menetap di penginapan putera Nurani dan Murni. Lembap dingin udaranya, menyumat segar liang nafas. Sesekali, decit riuh si pipit murai galak menjadi halwa telinga. Merindui…




Jika sebelumnya, ku lumatkan saja rasa indah itu dengan nikmat. Hingga pagi ini, keindahan wajahnya menyelit rasa rindu yang bakal tercipta. Agak keterlaluan jika monolog sindiran menyamakan ia sebanding dengan pemandangan keajaiban dunia. Kerana yang melihatnya bukanlah mata seluruh dunia yang seimbas pandang, tetapi mata diri yang bertahun-tahun merasa, melihat, dan bergelumang. Seharusnya memberikan penilaian yang tinggi dalam penghayatan.

Haha. Bukan indahnya saja yang mengusik pagi, lantaran jaulah sepanjang bertahun di dalam keindahannya, membias rasa kerinduan yang bakal tercipta.

Woi!!oloh nate ni!!berat demo berat!!ya akhi!!busuknyo ketut mu!!ingat, sume orang bertanggungjawab dengan tugasan masing-masing!!ogawa luu....

Bicara herdik dalam bercanda itu barangkali sudah biasa mengisi ikram selama perkenalan. Seputar ia berlegar dalam kesunyian pagi. Mengingat kembali.. Sekejap benar bersua usia, bergomol mesra, bertatih mengaji, dan beriadah minda. menjadikan hingga lewat usia ini seadanya..




Di mana pernah kita melabuh tapak, pasti tercalit barang sekelumit sisa. Biar tiada tampaknya dimata, mungkin rasa tidak berdusta.

Kadang terlintas fikiran, bukan masanya lagi mengenang barang yang sudah. Makin dikenang, menambah rindu, membantut langkah, memati semangat. Katanya hati, sisa ini bukan untuk dikenang, tapi disimpan, biar tiada jemu rasa akrab yang terbina.
Hidup bukan sekadar lukisan, yang bisa dipadam dan di lakar kembali mengikut kemahuan. Kerana siapa pun kita pada hari ini dan akan datang, kita adalah orang itu sebelumnya yang tidak mungkin dipadam kenangan, rasa, dan asalnya…

Tuesday, March 29, 2011

Bicara Keresahan



Dimana jiwa kesedaran lalu,
Yang menggamit resah pergi berlalu,
Hilang mengundang datangnya pilu,
Hingga pekerti laku melulu-lulu,

Dimana rasa kehambaan pergi,
Hadirnya menunduk rasa tinggi,
Tawadduk menyembah di dinahari pagi,
Sungguh ku harap kembalinya lagi,

Terkadang sedarku dimabukkan dunia,
Memang itu fitrahnya manusia,
Mudah alpa pada ikrar setia,
Menjadilah umurnya berlalu sia-sia,

Kini masih lagi mengejar ujian yang fana,
Hingga kurasakan inilah pengakhir diri merana,
Kuingatkan sesudahnya terus berkelana,
Rupanya semakin dikejar tiada kemana,

Semoga ujian yang bakal dihadapi, dipermudahkanNya…

Wednesday, March 16, 2011

BICARA PADA DIRI..



Dingin belaian pagi dengan decit keriuk kipas, membalut kusam ruap semangat semalam. Gumpalan selimut yang terlorot di paha dicapai dan digebarkan kembali, membungkus litup terus rasa mahu bangun. Pesanan Rahmat semalam, kembali terngiang-ngiang di telinga Razif.

“ Zif, jangan lupa esok, kelas pukul 8.30 pagi.kau jangan main-main dengan Prof. Basya,” bagai mimpi yang semakin membuai lena Razif. Terus lena..

“Aduh!!” Sambil memegang kakinya, Razif terus mengaduh.

Rasa mahu tercabut ibu jari kakinya. Dia yang bingkas tiba-tiba daripada tidur masih belum mampu mendongakkan muka. Dengan mata yang berpinar terkunang dan degup jantungnya kencang sejurus, begitu menghilangkan terus rasa ngantuknya. Beberapa minit begitu, dengan birat pedih sentapan hujung jari kaki masih lagi dirasai, matanya memicing menjelaskan wajah Rahmat di hadapan.

” Jahanam kau!” sumpah Razif dengan rasa darah meluru kemukanya.

“Woi! Sudah pukul 8.15 ni. Kau nak ponteng kelas Prof ke? Jangan buat hal Zif,” membingit suara Rahmat memecah pagi, memaksa Razif bergerak longlai dari katilnya.

“Aku pergi dulu Zif. Jangan nak mengada-ngada nak tidur balik, atau kau pandai-pandailah menjawab dengan Prof nanti,”. Acuh tak acuh Razif mendengarnya.

“Hmm” dengan rasa amarah yang masih berbekas , sepatah dia membalas.

Sepermegian Rahmat, menyentap bersama emosi Razif yang lansung teringat akan kebengisan Prof Basya.“Adus, 15 minit lagi. Mati aku!” sepintas dia melirik jam di mejanya. Rasa cemas dan tekanan, mengaktifkan tubuhnya mengkendirikan persiapan ke kuliah. Dengan penampilan ala kadar dan mandinya sekali basah, Razif melangkah kalut yang hampirnya berlari-lari anak menuju ke kuliah.
……………………………………………………………………………………….
Dari bilah kecil bukaan pintu dewan kuliah, Razif menghendap, memastikan agar kuliah belum bermula. “Fuh, lega,” Razif menyeringai keseorangan. Dia melangkah perlahan agar tidak menarik perhatian rakan sekuliah lain, yang telah memenuhi dewan. Namun, tetap ada mata-mata yang memandang sinis kearahnya.

“Dah la tak mandi, sepet lagi tu,”gumam Razif dalam hati yang kurang senang dengan pandangan beberapa rakan Tionghua. Sukar benar dia bermesra dengan mereka.

Matanya melilau mencari ruang kosong untuk diduduki. Biasa, dia berada saja di bahagian tepi dewan yang di kenali sebagai “dapur” oleh kawan-kawannya. Kebengisan Prof Basya, memaksanya mendaki tangga dewan mencari ruang duduk.

Seusai dia melabuhkan punggung ke kerusi, sosok Prof Basya kelihatan muncul dengan riak menyinga di wajah seperti biasa. Suasana dewan yang sebelumnya gamat, bagaikan ditekan suis menjadi hening serta merta. Pembelajaran seharian diteruskan dengan penuh tekanan.

Resah selama 2 jam lebih di ruang kuliah, bersama dengan karenah Prof. Basya, hampir saja melunturkan semangat untuk ke wad seterusnya. Sebagai seorang pelajar perubatan, memerlukan Razif berhadapan dan berkomunikasi dengan pesakit sebagai tambahan dalam pembelajarannnya. Dalam semangat yang serba goyah, digagahkan juga kaki ke wad. Tambah lagi, minggu ini giliran dia membentangkan satu kes pesakit kepada pensyarah.

Keringat nipis melembapi kulit Razif, sedikit menyerapi kemejanya memberikan kesan basah tampak dari luar. Sesekali tubuhnya disapa angin dalam langkahnya yang persis lari-lari anak. Menyirami sejuk kembali semangatnya. Wad 7 Utara ditujui.
………………………………………………………………………………………………………..
“Assalamualaikum mak cik,”suaranya cuba dilunakkan sesopan mungkin.Faham benar dia dengan fi’il pesakit-pesakit di Hospital USM, tempat di mana dia belajar. Jika mahu menerima kerjasama yang baik daripada mereka, jaga hati mereka. Sehari-harian di wad HUSM bukanlah satu kerehatan bagi mereka. Sentiasa saja ditanya dan diminta itu ini oleh pelajar-pelajar perubatan. Jauh disudut hati Razif, mengharap mereka memahami.

Wanita tua yang separuh abad di hadapannya tersengih-sengih sambil mengangguk-anggukkan kepala. Tidak pula dia menyambut salam daripada Razif. Dalam kaget salam tidak berjawab, Razif berhusnulzon menganggap salamnya tidak di dengari.

“Assalamualaikum mak cik,” salam kembali disapakan dengan sedikit kuat, mengharap respon positif daripada pesakit.

“Mek bukan orang Islam. Mek orang Buddha,”sengih tuanya masih tidak lekang dari raut wajah, sekaligus membahasakan dirinya sebagai ‘mek’. Razif terpaku.

“Oh, maaf Mek. Saya tak tahu. Muka Mek macam orang Melayu,”merona merah muka Razif menahan malu. Mahu saja dia mempersetankan dirinya ketika itu. “bodoh!” kutuknya diri sendiri di dalam hati.

“Tak apa. Mek biasa dah,”jawapan yang sedikit memberi kelegaan pada Razif.Seperti tadinya, Mek masih menguntum senyum membariskan giginya yang masih penuh dan bersih. Tidaklah pula Razif pasti, samada itu gigi palsu atau yang asli.

“Err, Mek. Saya pelajar perubatan di sini. Jika Mek tidak keberatan, saya nak ambil sikit masa Mek untuk bertanyakan berkenaan penyakit Mek. Boleh ke?”terus saja Razif menyatakan tujuan asal kedatangannya tanpa mahu berbasa-basi lagi.

“Boleh, boleh,” ringkas saja Mek menjawab. Mungkin sudah tiada lagi modal untuk dibuat humor, lantaran berkali-kali berhadapan dengan pelajar-pelajar di sini.

Peluang yang ada digunakan sebaiknya oleh Razif. Pelbagai persoalan diajukan kepada Mek dalam cuba untuk memberikan diagnosis yang betul terhadap penyakit. Mek begitu positif dalam melayani Razif. Setiap yang ditanya, dijawab dengan baik. Ada bibit kemesraan yang semakin terbina sepanjang temubual dijalankan. Tidak tergambar pula oleh Razif tembok berlainan bangsa menjadi penghadang dalam berkomunikasi dengan Mek. Dia senang...

“Maaf mek. Saya nak tanya dengan lebih terperinci berkenaan latar belakang kehidupan Mek. Hehe, macam polis la pulak saya kan Mek? “ Razif sedikit berseloroh dalam bertanya. Kemesraan sehingga sekarang membuatkan dia betah untuk bergurau.

“Boleh, boleh. Mek suka bersembang dengan adik,” akui Mek dengan jujur.

“Mek ada berapa orang anak ye?” latar belakang sosial pesakit perlu diketahui oleh Razif, bukan sekadar soalan rutin, tetapi penting untuk mengetahui bebanan ekonomi pesakit.

”Mek ada 7 orang anak, semua dah bersekolah. Dah bekerja pun ada. Sekarang dah senang sikit. Tak macam dulu,” panjang lebar Mek mengurai persoalan yang diajukan Razif.

“Maksud mek tak macam dulu tu macam mana ya mek?” Razif begitu teruja dengan kenyataan Mek. Sepertinya, ada pekung yang cuba diluahkan oleh Mek.

Mata tua di depannya terkedip-kedip sambil memandang di kejauhan. Redup di wajah Mek meggantikan keceriaan sebelumnya. Sesekali, jari runcing berurat tua itu, menguis-nguis cadar yang sedia elok keadaannya. Tiada pula bicara meraikan pertanyaan daripada Razif. Lama juga dia begitu..

“Err, maaf mek. Jika soalan saya agak keterlaluan,” Razif menyedari kesulitan untuk Mek menjawab persoalannnya. Jauh disudut hati, ada penyesalan atas keterlanjurannya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terpaksalah badan menanggungnya.

“Mek sekarang hanya tinggal dengan anak-anak. Dah lama Mek berseorangan dalam membesarkan anak-anak. Mek memang susah dulu,” begitu beberapa ketika Mek dalam lamunan emosinya, kini baru bicaranya terluah. Tidaklah pula dia memberi respon secara lansung kepada Razif.

“Macam-macam kerja mek buat nak membesarkan anak-anak. Dia tinggalkan Mek sehelai sepinggan. Jangankan nak menjenguk, bertanya kabar pun tidak.” Terus saja Mek menyambung bicaranya tanpa menanti persoalan daripada Razif. Dia benar-benar ingin meluahkan rasa. Diam…

“Maksud Mek, suami Mek ke?” tidak sabar pula Razif menanti Mek menyambung ceritanya setelah beberapa ketika Mek kembali menyepi. Gelojak ingin tahu begitu memaksanya agar terus bertanya.

“Ye dik. Suami Mek. Dia lari tinggalkan Mek dan anak-anak setelah dia memeluk agama Islam. Susah Mek dik, susah.” Mahu saja Razif bangun meninggalkan Mek bersendirian ketika itu. Rasa malu yang menebal dalam diri, menyekat pelbagai persoalan di kerongkongnya. Malu yang dia sendiri tidak mengertikan. Mungkinkah kerana dia seorang Islam ketika itu. Mahu pulangkan paku buah keraskah orang tua ini.

Emosi wanita Tionghua di hadapannya kelihatan semakin merundung. Begitu lama dia memendam rasa dan kesusahan berseorangan. Kehadiran Razif ketika itu, mungkin memberi ruang kepadanya berkongsi rasa. Ada butir-butir jernih menakung di kalisnya. Sempat pula dia menyeka dengan jarinya agar tidak membiarkan butir-butir itu terus mengalir kepipi. Kusam di wajahnya semakin ketara, menjelaskan perit yang ditanggung sebelum ini. Razif membiarkan dia beremosi kembali. Biarkan saja dia reda.

“Maafkan Mek dik. Mek terikut perasaan pula.” Berkali-kali dia menyeka kedua-dua matanya. Sesekali, terdengar sedu di hujung bicaranya.

“Tak mengapa Mek, saya faham. Eloklah Mek rehat dahulu. Tenangkan jiwa Mek. Maafkan saya sekali lagi kerana menggangu hari Mek.” Tidak sampai hati pula Razif mahu meneruskan sesi temubual kali itu. Cukuplah. Tunggu saja Mek tenang kembali. Sungguh dia rasa bersalah dalam mengembalikan memori lama buat Mek. Ditinggalkan saja wanita tua itu melayani perasaan sendirian. Ada masa, dia akan kembali lagi menemui Mek.
…………………………………………………………………………………………..
Langkahnya diatur tidak serancak datangnya tadi. Rasa mahu kembali menemui Mek, menggugah tapaknya. Mahu dia kembali ke masa silam Mek, mengurai rasa yang dia tidak mengertikan ketika itu. Marah, malu, sedih, bingun, bergaul rata memberi suatu rasa jengkel dalam diri. Marahnya pada sang suami, begitu melepaskan tanggungjawab semudah itu. Sedih dia, pada resam nasib yang menimpa Mek. Pastinya, rasa malu itu lebih mencuit kematangannya sebagai seorang muslim yang lansung membawa bingun pelbagai persolan. Kenapa harus setelah sang suami memeluk Islam dia perlu meninggalkan keluarga asalnya? Tidakkah Islam itu kelihatannya begitu kejam dengan tindakan si suami? Atau, pendirian si suami yang salah dimengertikan?

Badannya rasa seperti mahu terjerumus ke belakang. Nasib kakinya masih sempat mengimbangi diri. Tiba-tiba saja bahu kanan terasa ditarik, menghentikan langkahnya secara mendadak. Sempat juga dia menoleh kebelakang, menangkap kelibat manusia berkot putih. Dalam kaget mengatur kembali posisinya, tidaklah pula sempat dia mengecam si empunya kelibat itu.

“Celaka kau Mat! Kau kalau tak menyakat aku, tak senang. Bagi salam dulu Bro,” Lantas saja dia mengutuk setelah jelas si empunya kelibat ditentangnya. Geram benar Razif dengan sikap Rahmat yang selalu mengejutkannya. Mana halusnya pekerti Melayu, yang moleknya membawa perkenan disisi agama.

“Haha, tenang Zif. Aku dah panggil kau tadi. Tapi kawan aku seorang ni, berkhayal tak habis-habis teringat pada si buah hati. Haha, apa yang kau mengelamunkan tu?” Rahmat menyerkap jarang.

“habis kau yang tergesa-gesa nak panggil aku, apa kes pulak ni?” Malas dia mahu memanjang lebarkan kisahnya dengan Mek kepada Rahmat. Kenalnya dia dengan Rahmat, seawal kemasukannya ke tempat pengajiannya sekarang, Universiti Sains Malaysia. Geramnya pada Rahmat,tak kemana. Geram seorang sahabat tanda berikram. Keras katanya menempelak, bagai lumrah bercanda dalam bicara. Lain orang, lain pula caranya.

“Senang ku gauli mu, dalam canda bicara, dalam herdik gurauan, kerna dikau ku kenali. Lagakku dengan mu cuba ku lanjutkan pada insan tepian itu, nyata cebik mencuka balasnya. Aku gharib. Rupanya, insan itu berbeza. Kala kita tangis gembira, dikatanya kita kecundang. Tika kita santai berikram, bebas mereka menempelak lalai. Hatta, kita juga prejudis pada mereka. Kita lihat,rasa, dan hidu yang sama. Namun kita ketara dalam menilai.”

“Zif, aku nak ajak kau pergi program “Interactive Dialogue” dengan Bro Shah. Malam ni. Kau free tak?” Rahmat mengusul jemputan.

“Bro Shah? Siapa dia?” Suatu nama baru menerjah pendengarannya.

“Aku pun tak pasti. Naim yang suruh aku ajak kau sekali. Jom lah. Kesian member tu menjemput,” sedikit mengharap Rahmat dalam nadanya.

“aku set je. Lagipun, tak merancang apa-apa lagi malam ni,” jawab Razif.

“cantek!” Bahu Razif ditepuk-tepuk. Ada riak kegembiraan di wajah Rahmat. Razif tersenyum hambar.
…………………………………………………………………………………….
Dalam selit kelapangan dhuha hujung minggu itu, membawa jajahan mindanya bermain dengan rasa. Silau kirmizi pagi mulai meremang, menerobos sipian bukaan tingkap, lantas sedikit meruamkan kebekuaan minda. Segar saja dirasakan pagi itu. Mungkin nikmatnya, baru sahaja dikecapi beberapa hari sebelumnya. Selepas bersolat subuh di awalnya tadi, memberikannya kesaksian mega merah berarak di kakian langit timur. Sungguh, lama benar dia tidak menyaksikannya. Lantaran diri yang sudah lama melupakan Tuhan dikala menghidupkannya kembali dari tidur. Jarang benar dia bersolat subuh diawalnya.

Wajah sayu Mek yang ditemubual beberapa hari sebelum ini mengisi kelapangannya pagi itu. Razif menekur-nekur kemaluan sendirian. Teringat pula dia pada Bro Shah, seorang yang begitu alim dalam perbandingan agama. Berulang bicaranya menerjah minda, begitu juga isi suaranya berkali menyapa hati. Terpegun dirinya dengan semangat kudus penyampaian Bro Shah. Bagai hidup madahnya itu, sentiasa memuhasabah apa maknanya diri bergelar seorang muslim. Kehadiran Bro Shah memberi dimensi baru kepada pendengar dalam menyampaikan mesej Islam dan menyangkal dakyah-dakyah musuh Islam. Menyedarkan kepentingan bersama mentablighkan seruan kepada ummat manusia, dikesampingan mengislahkan ummah.

“Malu dalam diri bergelar muslim yang ku kira usianya lebih lama daripada yang berbicara, sekadar pada nama, namun rompong tanpa maknanya. Malu dalam diri mengakui keizzahan Islam, sekadar diri yang merasa,namun, tiada usaha menjamunya pada awami. Sungguh bicaranya memberi nilai pada diri. Angkuhku dalam sedar kekuasaanNya. Zahirnya dilihat penuh kehambaan. Hingga diri merasa cukup mulia. Walhal amal, sekelumit tiada nilai,”

Seputar dia memuhasabahkan kembali di mana letaknya diri sebagai muslim. Hingga kini, masih menjadi fitnah pada agama. Pernah tempelak seorang rakan Tionghua mencuit egonya sebagai muslim.

“Razif, selalu datang lambat ye. Awak ada masalah ke?” Wong, rakan sekuliahnya menyapa dengan sengihnya menyeringai ramah.

“Hehe, biasa la Wong. Susah nak bangun pagi. Malam-malam tidur lambat selalu,”

“Bukan ke orang Islam mesti bangun sembahyang subuh? Macam mana awak boleh lambat, kalau awak bangun sembahyang?” Tanya wong sekadar menduga.

“Err, saya bangun sembahyang. Tapi itu la, tertidur balik lepas tu,” suatu dalih yang tentunya menampakkan kelemahan dalam cara hidup Islam.

“Alangkah lemahnya iman di hati. Cepatnya pudar oleh sengatan syahwat dan dunia yang berbisa. Semangat yang sentiasa surut lantaran kesibukan dunia yang tidak ada penghujungnya.”

Razif bersendirian pagi itu. Bermain rasa. Menginsafi iman yang semakin jauh hari ke hari. Benar, dia tidak pasti sampai bila rasa ini akan tegar hangat dalam diri. Kerana bicaranya pada diri, “muslimku ini, bukan untuk menjadikan Islam dipandang lemah,"

Thursday, December 9, 2010

MENGHARAPKAN SENYUM DIKEMUDIANNYA...

Begitu pantas masa berlalu, begitu juga jajahan minda mengisi memori. Mungkin 5 tahun suatu jangka masa panjang didengari bagi yang baru bermula, tidak pada yang hampir mengakhirinya. Begitulah adatnya manusia, tiada rasa hampirnya mati jika umur masih belum lagi beruban.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)

Masih lagi segar kenangan diawal perjalanan 5 tahun, melihat pada perjalanan diri yang masih lagi bertatih menimba pengalaman. Cuba untuk belajar dan mencuba pelbagai pengalaman. Sehingga kini, pengalaman-pengalaman itu sentiasa memberi rasa senyum dalam diri. Setiap kali mengimbau kembali.





Alhamdullilah diusia ini, masih lagi diberi kesempatan bersama rakan-rakan merasa pengalaman itu kesekiankalinya. Dan kuharapkan, rasa ini tegar menguja semangat berbakti pada yang memerlukan. Program berkhatan anjuran rakan-rakan junior dan kerjasama bersama Jabatan ORL, USM member jajahan minda ke Perkampungan Pulau Beluru.







Musim tengkujuh bawakan angin Laut China Selatan bukanlah pembeku semangat dalam meredah perairan yang sedikit bergelora dari biasanya. Gelora yang bagai menggamit ramah hati keterujaan peserta-peserta. Dalam terus mengecapi rasa yang bakal memberi senyum dikemudiannya…

Tuesday, June 29, 2010

WARKAH DARI KANDA....



Kala kau jauh dari keasalan,
Kuharapkan jiwa mu masih pada jati usulmu,
Tika teruja lonjak gembira mengemosi diri,
Jangan biarkan matlamatmu kabur digenanginya,

Langkaumu kuharap menggarap cita-cita,
Bukan mengharap pada cintanya dunia,
Biar saja harapmu tegar pada-Nya yang Esa,
Kerana kutahu, jiwa muda itu sentiasa diduga.

Banyak yang bakal kau pelajari dan tatapi,
Kerna medan ilmumu bukan hanya diruang kuliah,
Bahan telaahmu, tidak sekadar risalah akademik semata,
Justeru, kematanganmu banyaknya terdidik dari pengalaman,

Jadikan Al-Quran pembisik kalam ketenangan,
Dikala gundah berkelana merasuk jiwa,
Cintai majlis ilmu di rumah-rumah Allah,
Pastinya disitu kau mengenal erti kehidupan.


ABANGMU YANG MENGHARAP..
Buatmu yang bakal ke menara gading..

Friday, April 16, 2010

PENCETUS RASA KEJAYAAN



Gamat suara hilai dengan gah gemuruh tepukan mewarnai suasana dewan. Satu persatu nama insan-insan diwar-warkan memperakui kelayakan mereka sebagai pengamal perubatan bergelar doktor. Serentak itu juga tepukan dan sorakan mengiringi kegembiraan berbaloi jerih selama 5 tahun. bukan semudah lancarnya nama disebut berbanding sukarnya dalam menukil nama kegembiraan ketika itu.

Dari sisip ruang tepian kecil dewan, aku menjadi pemerhati kecil mendengar rasa itu. Biar bukan menanti nama sendiri menggema dewan, penuh kuharapkan nilainya setahun mendatang. Ku coroti dari ruang sisip itu deretan wajah-wajah puas pendidik menjamu pemandangan emosi. Tentu sekali mereka mengharapkan sesuatu yang terbaik hasil asuhan bertahun-tahun. bagai tiada jemu kegembiraan itu dirasa, terus saja dizahirkan dengan sorak dan tepukan hingga keakhir nama menyudahi. Tentu saja bukan disitu noktah kegembiraan.

Seusai nama-nama DR baru dimaklumi, menjadi tradisi setiap pensyarah-pensyarah membekalkan dengan pesanan dan kata-kata ingatan. Sungguh dunia diluar sesuatu yang baru buat mereka dan juga diri, mengharapkan panduan dari mereka yang telah mendahului. Prejudis lajak minda ini menlai kemampuan diri dalam mengggalas tugas yang tergambar getirnya.

Derapan kaki semangat menyerbu ke luar dewan , membariskan wajah-wajah ceria. Dalam canda berbicara mereka kukalungkan dengan ucapan tahniah. Dalam kecerian itu tentu saja terpalit jiwa-jiwa yang memendam rasa. Mungkin kejayaan masih belum masanya buat mereka. Kejayaan tertangguh diharap bukan peluntur semangat dalam menyambung usaha selama 6 bulan seterusnya. Kataku pada diri, setiap sesuatu sentiasa ada hikmahnya..

Biar rasa itu bukan kumilki kini, namun kerna mereka , diharap menjadi iltizam dalam mencetus rasa dkemudian hari….sekal lagi ku ucapkan TAHNIAH buat yang Berjaya….