Sunday, November 8, 2009

PENCARIAN RASA...


Dalam selit waktu kelapangan dhuha, konfrontasi bicara bersama teman mengusik kelesuan minda dingin pagi itu. barangkali masa berikram bagai haus dalam himpitan kesibukan sebagai pelajar. Sama-sama dalam canda berbicara menyapa bagaimana berlalunya masa diri dalam menggenapi waktu praktikal yang diperuntukan. Satu persoalan yang menyusul keluh kepenatan yang entah dimana kepuasannya.

Pantas saja ingatan ini mencungkil jejak sulung di medan praktikaliti yang ku kira masih lagi terasa hangat kenangannya. Biar dalam congakkan hisab menyedarkan diri bahwa masa begitu pantas berlalu. Bukan keseorangan diri bermain rasa, kerna teman bicaraku juga menyetujui.

Mudah benar lajak minda ini cuba menghayati apa yang bakal digapai dengan izin-Nya dalam setahun dua mendatang. Gelaran DR yang bakal disandang bagai begitu dekat biar dilihat panjang dari perkiraan. Kulansungkan lagi jangkauan imaginasi keruang kerja yang kurang lebih himpitan waktunya. Membawa gambaran masa yang bakal pantas berlalu seperti yang dirasakan kini. 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun…

Bunyinya cukup lama untuk yang mendengar, biar tiada sempat dikecapi untuk yang merasa. Lihat saja pada masa lebih dua dekad yang dilalui, mungkin saja kita merasa puas dengan seadanya. Namun tidak juga diri ini berhenti untuk terus mencari kepuasan. Hingga kini, masih lagi berjuang sekudrat mungkin, mengharap nilainya setahun dua mendatang. Kupasti setelah nilai itu dirasa, diri belum tentu puas untuk mencari selebihnya.

Langkauan prejudis ini mengenepikan bila akan diri ini berhenti dalam pencarian itu. kerna kulihat, rasa itu tiada pernah puas. Yakin kubicarakan, tiada ruang untuk kulepas dari himpit waktu sepertinya kurasa kini, mengundang keluh kesekiankalinya.

Teman bicara menyua kata, “ tiada makna umur yang panjang jika tiada usaha untuk agama”……..kerna kepuasan itu dirasa tanpa perlu dicari di akhirat sana, disitu noktah pencarian diri…

Thursday, August 13, 2009

LEMBARAN YOGJA..CONTD

Imbauan kedinginan pendakian kawasan tanah tinggi Kaliurang bagai masih lagi meresapi liang memori. Deretan penginapan menghinggapi sepanjang sependakian lerengan Kaliurang. Cerunan yang meninggi membawa gambaran tanah tinggi Cameroon di keasalan diselimuti panorama kekabusan mencetus keterujaan hingga kehujung pendakian. lapangan indah dan dingin puncak Kaliurang menyelitkan riau keberadaan Gunung Merapi. Barangkali sejarah meratapi bagaimana kebengisan Gunung Merapi menggegar kepulauan Jawa. Bagai belum lagi hilang amarahnya itu, hingga masih lagi terpapar kepulan asap menanti waktu melempias hawanya. Syukurnya tiada dugaan sebegitu di Malaysia.
Damai Kaliurang ditinggallkan dengan ketakjuban kekuasaan Allah seterusnya membawa delegasi menghayati sejarah keperajuritan dan kesultanan Jawa di Kratong. Sungguh setiap bangsa itu ada mulanya, ada ceritanya.




Waktu sore digenapi dengan kunjungan ke medan niaga Malioboro. Riuh ampu dalam tawar menawar dan sesak kunjungan tempatan juga antarabangsa menggamat suasana. Deretan kedai dipersisiran jalan raya menjanjikan nilaian harga yang amat berpatutan. Barangkali, tiada sempurana kehadiran di Yogjakarta tanpa singgah membawa pulang kenangan dari Malioboro. Ruang tepian tembok sepanjang lebih 1 km menyediakan kepelbagaian barang yang mungkin sesuai dibawa pulang sebagai kenangan.

Jauh perjalanan seharian meruap semangat dalam meneruskan kelansungan agenda. Hari ke-6 delegasi bakal mengharungi pengalaman berkhidmat pada masyarakat. Acara Bakti sosial dilancarkan dengan lokasi Karayanggayam Sitimulyo, Piyungan Bantul ,Yogjakarta menjadi pilihan. Membawa bersama kerjasama ukhwah antara MESAT dan Yayasan Al-Qais mencetus satu tautan yang tidak mungkin dipisahkan sempadan lautan. Acara pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubatan mendapat sambutan masyarakat setempat. Jasa dihulur walau sebentar, harap mampu mengubat luka, biar untuk dikenang bukan.



Biar manusia hanya mampu merancang, namun dengan kudrat-Nya segala misi yang dicanang hampir dipenuhi dengan terlaksananya agenda Bakti Sosial. Terus kembara delegasi dilanjutkan ke pesisir Pantai Parangtritis membawa jajahan minda kesegaran bayu laut dan liar kuda-kuda tungangan. Sorak hilai peserta delegasi memancar puas dalam perlaksanaan program. Sehari yang tinggal cuba dihayati sepenuhnya menyimpan segala pengalaman bermaknaLawatan ke Hospital Sarditjo melengkapi rencana perancangan misi. Sedikit gambaran pengurusan kesihatan yang dijalankan bakal dibawa pulang sebagai ilmu perkongsian. Terus segala permualaan dan perjalanan program diakhiri dengan majlis perpisahan membawa simfoni keharmonian serumpun.HARI INI MENJUAL JAGUNG, HARI ESOK MENJUAL JELAI, HARI INI KITA BERKAMPUNG, HARI ESOK KITA BERCERAI, ADA UMUR KETEMU LAGI….

Sunday, July 5, 2009

LEMBARAN YOGJAKARTA

Warna kirmizi sore di kejiranan menggamit ramah hati keterujaan.Riau diruang tinggi sebelumnya tenggelam bersama mentari dinahari. Riuh dialek serumpun menerjahkan gambaran suasana Maha Allah menciptakan manusia itu berbangsa-bangsa. Begitu suasana dikejauhan menyambut di Terminal Yogjakarta.
kelansungan perjalanan diteruskan dari Terminal Yogjakarta ke penginapan bersama-sama anak-anak Malaysia diperantauan membawa perkenalan yang barangkali jauh diduga. “hai, saya Tony” sapaan kemesraan lansung melesetkan tanggapan mengatakan ini anak jati melayu tanahair. Dengan keletahnya yang fasih berdialek Kelantan dan betahnya dikalangan kami sedikit meneruja rasa bahawa ini Chinese Malaysia biar bukan seagama. Suatu yang barangkali sukar dirasakan di keasalan.Penat yang dibawa sejak dari Kelantan tidak mematikan rasa terus mengecap suasana di kejiranan. Alun-alun selatan ditujui sebagai madah pertama rencana agenda. Omong lagenda yang tiada siapa tahu jauh benarnya menjadi mainan kami. Berjalan dengan menutup mata sehingga berada diantara dua pohon, menggambarkan hati yang suci. Sesuatu yang tidak seharusnya dipercayai.
Pagi di kepulauan Jawa disapa. Damainya semungkin seindah pagi di desa Malaysia. Rencana hari seterusnya dimulakan. Dengan gah seragam MESAT , delegasi menyusuri renik embun ke Universiti Gadjah Mada menyaksikan pertamakalinya medan ilmu bersejarah itu. Perkenalan singkat bersama Ibu Winnie dan ibu Listri mengikat pertalian sepanjang program. Inilah barangkali wacana penyatuan ummat sepelosok dunia. Kembara menjangkau Ke perkampungan kecil daerah Piyungan Bintul dengan bermatlamatkan pembelajaran melalui pengalaman. Hadirnya kami ketika itu, disambut dengan teori “tamu adalah raja”. Ledakan band anak-anak kecil serta manis senyuman setempat meruntun keharuan. Acara lapangan yang membawa pendidikan kesihatan ke masyarakat setempat begitu merangkumi pelbagai lapisan usia. Dengan LANSIA sebagai singkatan untuk lanjut usia, BALITA untuk anak-anak usia bawah lima tahun.Pembelajaran semalam dilansungkan lagi dengan pengenalan program kesihatan ibu dan si cilik bawah 3 tahun. Hari ke 3 membawa delegasi ke desa terpencil menempatkan POSYANDU. Sekali lagi kecaknaan melayani tetamu tergambar dengan sambutan persembahan anak-anak kecil membawa simfoni keakraban. Benar mereka ini menghormati akan kunjungan kejiranan.Khazanah terpendam Yogjakarta belum habis ditatapi. Gah kesinambungan kepulauan Jawa dengan tinggalan bersejarah menggamit kunjungan. Kehadiran julung-julung kali ini memberi ruang keemasan delegasi menjamu keajaiban tamadun dunia. Hari ke -4 diperantauan mengotakan butuh keinginan menyaksikan keberadaan Candi Borobudur dan Prambanan. Sekaligus merealitikan khayalan yang sebelumnya sekadar terlampir didada kertas.

Sunday, May 31, 2009

MENANTI USAHA YANG HAMPIR PASTI



Ku seret kembali jajahan minda dalam waktu usaha merasai nilai kembara di seberang laut. Usaha yang kadang diselit humor, emosi, belas dan tekanan sungguh mengajar apa itu nilai dalam bermasyarakat. Kerna dalam usaha itu ku fahami jiwa yang sekadar kukenali sebelumnya. Juga dalam usaha itu, gah terbina rasa setiakawan, biar kadang diuji amarah yang prejudis.

Sabda nabi SAW..“Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya” (bukhari dan muslim)

Penat menyusur dalam bahang mentari, memerah sisa kesabaran dalam setiap keringat. Hina menadah tangan dan memanis bicara, mencalar ego yang bukan mudah diremehkan. Semua itu dengan harapan, ada tangan yang ikhlas memberi .

Cuma kadang dalam tegar usaha itu, cacatnya bagai terasa lantaran tipis dalam amalan keredhaanNya. Aku husnulzon kan diri, mengharapkan biar cacat itu tidak dipandang bertabir niat kerana-Nya.

“hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiapseorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia kan memperolehuinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.” (bukhari dan Muslim)

Biar belum waktunya arah usaha itu, segala rasa didalamnya diadun membibitkan rasa manis yang hampir dikecap bersama. Biar juga usaha itu hampir terlunas, penuh kuharapkan agar rasanya dilupa jangan. Yogyakarta hampir pasti...

Monday, May 4, 2009

Kembara di Rantau Pengislahan



Lewat ku coretkan jajahan minda seusai imtihan baru-baru ini. Biar mata terkunang membawa cengkung tatapan ilmu, biar hati masih lagi walah menanti nasibnya imtihan tika itu, aku lewati juga batas minda yang masih dalam tekanan. ”Jom cameroon, hehe” jemputan yang sedikit lambat untuk dibalas dalam diri masih terikat penantian keresahan. Biasa ku sahut pantas saja ajakan ikram sahabat-sahabat itu.

Kadang hati ini, bila dimanja senang benar mengalah pada ujian. Biar dicuitNya sedikit. Kuatku hanya pada FirmanNya:

”Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali-’Imran : 139)

Aku sahut positif pada ramah jemputan teman kerna padanya ada nilai sebuah kembara yang mungkin penenteram hati yang gharib.

”maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerna sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi hati yang ada di dada” ( Al-Hajj : 46)

Cameroon ditujui dengan meresapi nilai rasa kehambaan dan cuba diselitkan manisnya bersahabat, kalau benar pada caranya disitu ada pengislahan.....

Thursday, April 2, 2009

MANIS SEBUAH UJIAN

Cepat benar kita melatah, biar dicuitnya sedikit…
Tetap juga diri ini benar, biar teguran diberi.
Bicaraku pada diri, itu egomu..
Bentak minda amarah, bukan silapku..

Yakin ku pada diri,lewat membatasi pengharapan padaNya,
Tika itu senang kumadahkan kejayaan,
Biar belum tentu dengan usahanya,
Biar usaha juga bukan segalanya

Angkuhku dalam sedar kekuasaanNya,
Zahirnya dilihat penuh kehambaan,
Hingga diri merasa cukup mulia,
Walhal amal sekelumit tiada nilai,

Kini, aku tanya kembali pada diri,
Mana zahirnya usaha diri, lantaran kegagalan buktinya,
Biar tugas sebagai hamba belum selesai,
Kulalaikan ia dalam gila keduniaan,

Kala aku dungu kegagalan,
Madah mesra teman-teman menyuntik iltizam,
Prihatin mereka menyapa bagaimana rasanya hati,
Cukup saja kukatakan itu tandanya kasih Allah pada hambaNya..

Monday, March 16, 2009

BICARA MENCUIT RASA.....

Senang ku gauli mu, dalam canda bicara, dalam herdik gurauan, kerna dikau ku kenali…
Lagakku dengan mu cuba ku lanjutkan pada insan tepian itu, nyata cebik mencuka balasnya. Aku gharib. Rupanya, insan itu berbeza. kala kita tangis gembira, dikatanya kita kecundang. Tika kita santai berikram, bebas mereka menempelak lalai. Hatta, kita juga prejudis pada mereka.Kita lihat,rasa, dan hidu yang sama, namun kita ketara dalam menilai.

Lantas pesan ku pada diri

1)Waspada dalam mengusul berita,sebelum pasti faktanya, barangkali jauh dari benarnya, penyudah menanggung fitnah dan perpecahan..

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” [al-Hujurat:6)

2)Lantaran amarah sesekali melewati akal, jangan melulu membuat tafsiran,bimbang penilaian jauh dari hakikat…

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari maklumat berupa sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya ebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” [al-Hujurat: 12].

3)ku katakan tadi kita berbeza.Denganmu ku bersenda, dengannya ku beramah. biar hikmah dalam bicara.Tersilap cara, hati terguris...

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” [al-Nahl: 125]

4)aku juga insan dhaif pekerti,leka membuka pekung saudara seagama. mungkin bukan itu dimaksudkan, moga aku tidak mengulangi. Kelak aib saudara sendiri.

“….janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah diantara kamu mengunjing sebahagian yang lain. Apakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?tentu kamu merasa jijik…” (al-hujurat : 12)

5)ku ingat pada insan tepian yang ku herdik senda itu,ikhlas ku cuba menegur, namun cebikan yang kuterima. Nyata langkahku tersasar. barangkali kita juga begitu...

Nasihatilah ketika aku bersendirian,
Hindarilah menasihati aku ketika aku bersama orang ramai,
Kerana menasihati di hadapan orang ramai itu merupakan satu jenis,
daripada cacian yang aku tidak mahu mendengarnya,
Dan jika kau berlawanan denganku dan tidak bersetuju dengan pendapatku,
Maka jangan pula engkau bersedih hati apabila nasihatmu tidak diikuti.(Diwan As-Syafie, Adab An Nush, p 56, Al Maktabah At thaqafiyyah Beirut.)

6)Lapangkan dada dalam memberi pandangan, bukan mengharap untuk diterima jauh sekali mengharap kebenaran itu datang dari pandangan sendiri…

“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan karena terlalu banyak berdebat.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

“Aku jamin rumah di dasar syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bercanda, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaqnya.” (HR Abu Daud)

DENAI PENGHARAPAN

Membugar mata zahirku menggamit fana ini,
Bagai yakin segalanya ada disini,
Perlu cukupkan apa yang sentiasa kebutuhan,
Waima belum ketentuan apa dingini,
Persis riwayatnya sekadar disini saja,

Aku runsing dimana letaknya diri,
Kala nikmat dunia direngut bebas awami,
Tika kini, aku masih serba sederhana,
Butuh penuh pengharapan apa bukan milikku,
Pasti, aku juga mahu merasa itu,

Pernah desak mahu itu terlunas,
Diteguk manisnya penuh puas,
Tanpa bait syukur rasa kehambaan,
Dongak bangga memuji diri,
Jahil menidakkan dari mana asalnya.

Manis dikecap kembali hambar,
Barangkali jemu santapan tidak berkalih,
Mungkin juga dirasuk majnun nafsu buta,
Atau manis fana yang sekejap Cuma,
Membenteng pandangan madu hakiki ukhrawi.

Kini, masih tegar dalam penantian,
Kerana pengakhir, belum ketentuan detiknya,
Manis itu kadang melikat menyumbat keronkong,
Terkelu bacul lidah ini memuji-Nya,
Ku gagahkan azam dalam denai ke penhujung....

Al-madudi: 09